Powered by Blogger.

RSS


TONGKAT ALI





Nama Botani: Polyathia Bulata

Nama Lain: Tongkat Ali Hitam, Tongkat Ali Baginda, Sepelih Angin 
Famili: Annonaceae

Pengenalan: 

Pokok bersaiz kecil atau shrub ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Ranting muda dilitupi dengan rambut atau bulu yang agak jelas, berwarna keemasan. Daunnya ringkas, berwarna hijau, berbentuk bujur panjang ('lanceolate' atau 'oblanceolate') berukuran 30-35 cm panjang dan 10-12 cm lebar. Di bahagian atas permukaannya berkilat, mempuyai 25-40 pasang urat dan dibahagian hujungnya tajam ('acute'). Tangkainyaberukuran 2-3 cm panjang. Bunganya berwarna krim (kelabu kemerahan) dengan 6 kelopak yang panjang.

Khasiat dan Kegunaan:

Tumbuhan ini digunakan secara tradisi untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Air rebusan diminum sebagai tonik. Selain daripada itu, tumbuhan ini digunakan untuk menguatkan buah pinggang dengan meminum air rebusannya secara berterusan selama satu bulan. Tumbuhan ini juga digunakan untuk merawat darah tinggi dan kencing manis dengan menghancurk an bunga, akar dan daun sehingga menjadi serbuk lalu dimakan. Salah satu kaedah yang biasa diamalkan dalam penggunaanya bagi merawat masalah lemah tenaga batin ialah dengan meminum secara berterusan air rebusan akar P. bullata yang dicampur dengan akar dedawai (Smilax myosotiflora), itah tembaga (Smilax calophylla), mentimun tikus (Cyclea laxiflora) serta akar secancang (Lasianthus cyanocarpus).




Tea Tree


Nama Botani: Melaleuca alternifolia Cheel

Nama Lain: Gelam wangi, Tea tree (Inggeris)

Famili: Myrtaceae

Pengenalan: 

Tea tree dipercayai berasal dari benua Australia. Tanaman bersifat saka ini boleh hidup subur di kawasan beriklim tropika. Ia merupakan tanaman jenis berkayu dengan ketinggian 4-7 m. Kulitnya menyerupai kertas dan boleh disiat dalam bentuk kepingan. Daunnya kecil tersusun berlingkar di sepanjang ranting. Di akhir ranting dahan terdapat kuntum bunga yang berwarna putih. Setiap lengainya mempunyai tiga ruang, bersaiz lebih kurang 3 mm panjang.Ianya boleh menghasilkan antara 100 hingga 150 biji behih yang kecil dan keras berwarna coklat. Minyak pati tea tree di hasilkan dengan cara menyuling daun segar selepas sahaja dituai.

Khasiat dan Kegunaan: 

Ekstrak minyak tea tree banyak digunakan dalam barangan penjagaan kesihatan terutama penjagaan kulit. Ia merupakan agen bagi antikulat dan antibakteria yang mujarabdalam penyediaan barangan untuk penjagaan kulit. Tindakan minyak ini terhadap sel epitelium manusia adalah rendah dari segi ketoksikannya. Produk farmaseutikal dari formulasi tea tree adalah bagi rawatan penyakit jerawat, kelemumur dan masalah tinea.



                                                       Senna Mekah



Nama Botani: Cassia angustifolia Vahl

Nama Lain: Mecca senna, Tinnevelly senna (Inggeris), Nilavarai, Nelavakai (India), Makham khaek (Thai), Fan xia ye (China)

Famili: Leguminosae

Pengenalan: 

Senna mekah adalah sejenis tanaman semusim yang renek berasal dari negeri Yemen di selatan Arab. Kini ia ditanam secara komersial di India, Pakistan dan China. Ia sesuai ditanam di tanah lom berpasir dan aluvium berlom. Tanaman ini mempunyai batang berkayu lurus, bercabang dan berwarna hijau pucat. Ketinggiannya boleh mencapai 60- 100 cm. Daunnya berpasangan dan setiap tangkai mempunyai beberapa pasang daun. Kudup sena mekah akan keluar setelah 40 hari penanaman dan berkembang sepenuhnya selepas 65 hari. Bunganya berwarna kuning serta buahnya berbentuk pipih dan lembut. Buahnya ini berwarna perang kehijauan ketika muda dan perang gelap setelah matang.

Khasiat dan Kegunaan: 

Herba ini berupaya merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, sembelit, cacing, anemia, deman panas, taun, bronkitis, batuk, gout, reumatisme dan penyakit kuning, Kini ia dipercayai dapat merawat jerawat dan kurap serta menghilangkan sembelit.


Selasih




Nama Botani: Ocimum basilicum Linn.

Nama lain: Sweet Basil, French Basil(Inggeris), Barbar,Tulsi (Hindi), Raihan (Arabic),Bai horapa (Thai)

Famili: Lamiaceae

Pengenalan: 

Selasih merupakan satu darpadai spesies tumbahan yang secara umumnya di kenali sebagai basil. Terdapat lebih kurang 150 spesies dari genus Ocimun ini dan spesies basilicum merupakan yang terpenting. Ia telah lama diketahui mempunyai kepelbagaian sumber dan kaya dengan minyak pati. Tumbuhan ini berasal dari kawasan tropika dan separa tropika benua Asia, Afrika dan Amerika Tengah serta Selatan. Kini tersebar luas di kawasan panas di kedua-dua hemispera dari aras laut hingga lebih kurang 1,800 m tinggi. Walau pun tanaman selasih telah berabad-abad lamanya berada di negara kita, namun ia masih ditanam dikawasan kebun dapur iaitu bagi kegunaan sendiri.Selasih ialah sejenis tanaman semusim yang tumbuh menegak dengan ketinggian antara 30–90 cm. Batangnya bersegi dan berwarna sama ada hijau, ungu atau perang. Daunnya berwarna hijau pekat, tunggal dan berbentuk bujur telur (‘ovate’). Di negara ini pada kebiasaannya pembungaan bagi tanaman dari biji benih bermula selepas lebih kurang 75 hari selepas di tanam ke ladang. Bunganya terdapat dibahagian hujung batang dan dahan pokok. Keseluruhan bahagian tumbuhan boleh mengeluarkan bauan yang sangat beraroma.

Khasiat dan Kegunaan: 

Tanaman selasih mempunyai berbagai-bagai kegunaan. Di Malaysia tumbuhan ini digunakan dalam masakan dan dikatakan mempunyai khasiat perubatan. Di Amerika pula disebabkan kecantikan dan bau yang menarik beberapa baka terpilih telah jadikan sebagai tanaman landskap dan tanaman hiasan. Di samping itu ia dianggap sebagai salah satu herba kulinari yang terkenal dan juga dijual sebagai bunga segar dan produk kering. Minyak pati yang dihasilkan melalui pengekstrakan daun dan bunga digunakan dalam industri minyak wangi, farmasiutikal, aromaterapi dan makanan dengan manfaatkan bauan dan perisa yang asli. 



                                                           Serai Wangi






Nama Botani: Cymbopogon nardus (L.) rendle

Nama lain: Sereh wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris)

Famili: Graminae

Pengenalan: 

Tanaman Serai Wangi (Cymbopogon nardus) dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai Wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat beberapa pengusaha yang berminat untuk menanam serai wangi bagi menghasilkan minyak patinya. Serai wangi ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga 1.0–1.5 m. Daunnya bersifat tirus, panjang sehingga 70 – 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda, kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika dibandingkan dengan serai makan. Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.

Khasiat dan Kegunaan:

Dari segi ubatan tradisional serai wangi digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusannya sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun di kebanyakan negara serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak patinya. Serai wangi menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai `citronella oil’ di pasaran antarabangsa. Minyak sitronela mengandungi dua bahan kimia penting iaitu sitronelal dan geraniol. Sitronelal dan geraniol amnya digunakan untuk bahan dasar pembuatan ester-ester seperti hidroksi sitronelal, genaniol asetat dan mentol sintetik yang mempunyai sifat lebih stabil dan banyak digunakan dalam industri wangi-wangian. Hidroksi sitronelal penting untuk sabun dan minyak wangi yang berharga tinggi, manakala mentol untuk bahan dasar ubat batuk, ubat gigi dan pencuci mulut. 




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

JUS INFINITI JUTAWAN HERBS (MOHD ZUHAIRI BIN NOORDIN) said...

salam

Post a Comment